2020 MarsdenLR 125
MAHKAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
JOHANDRA REALTY SDN BHD & SATU LAGI LWN. KETUA PENGARAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA & SAT....
[Rayuan Sivil No: J-01(IM)(NCVC)-30-01/2019]
The tort of trespass includes liability for damages, with compensation based on restoring the injured party to their original position, requiring consideration of the reliance on relevant legal principles and the nature of the wrongful act.
Headnote:(A) Tort Law – Trespass – The court affirmed the finding of continuing trespass by the First Defendant over land owned by the Plaintiffs and established liability for damages – The court confirmed exemplary damages based on principles from Rookes v. Barnard and Cassell v. Broome, emphasizing the essential elements of trespass and compensation for loss. (Paras 15, 22, 49)
(B) Measure of Damages – Principles of damages were summarized, highlighting the necessity to place the injured party in the position they would have been if the tort had not occurred, following precedents in Livingstone v. The Rawyards Coal Co and Yang Salbiah & Anor v. Jamil Harun. (Paras 54, 68)
Pendahuluan
[1] Ini adalah rayuan Johandra Realty Sdn Bhd dan Lee Hui Siang (perayu-perayu/plaintif-plaintif) yang terkilan dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Johor Bahru (MTJB) mengesahkan keputusan Penolong Kanan Pendaftar (PKP) berhubung dengan satu prosiding taksiran ganti rugi yang diadakan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (responden pertama/defendan pertama) dan Kerajaan Malaysia (responden kedua/defendan ketiga). Prosiding taksiran ganti rugi di hadapan PKP diadakan setelah MTJB memutuskan bahawa responden pertama/defendan pertama telah melakukan pencerobohan ke atas tanah milik perayu-perayu/plaintif-plaintif yang keseluruhannya seluas 20.5268 ekar.
[2] Bagi memudahkan sebutan, pihak-pihak dirujuk sama seperti mana di hadapan PKP di MTJB iaitu plaintif dan defendan. Secara jamak plaintif-plaintif akan dirujuk sebagai pihak plaintif dan defendan-defendan dirujuk sebagai pihak defendan. Singkatan nama D1 akan merujuk kepada defendan pertama dan D3 merujuk kepada defendan ketiga.
Latar Belakang Tindakan
[3] Pihak plaintif telah memfailkan writ saman dan penyata tuntutan terhadap pihak defendan menuntut ganti rugi akibat pencerobohan ke atas tanah-tanah milik mereka sejak dari tahun 1967 sehingga kini.
[4] Tanah-tanah milik pihak plaintif yang terlibat adalah:
(i) Tanah seluas 3.7373 ekar dari Lot 2193, 2194, 2195, 2196, dan 2199 Mukim Sungai Pinggan, Daerah Pontian, Negeri Johor (tanah 3.7373 ekar); dan
(ii) Tanah seluas 16.7895 ekar dari Lot 3749, 3752, 3754 dan 3817 Mukim Sungai Pinggan, Daerah Pontian, Negeri Johor (tanah 16.7895 ekar).
[5] Pencerobohan didakwa berlaku apabila D1 terlebih pakai tanah sebahagian tanah 3.7373 ekar dan menjadikan sebahagian lagi tanah 3.7373 ekar serta keseluruhan tanah 16.7895 ekar sebagai dataran banjir (floodplain).
[6] Pada 19 Disember 2016, MTJB mendapati pihak plaintif telah berjaya membuktikan tuntutan terhadap D1 dan pada masa yang sama mendapati D3 bertanggungjawab secara vikarius ke atas tindakan D1 serta telah memerintahkan supaya satu taksiran ganti rugi diadakan dan didengar di hadapan PKP.
[7] Terkilan dengan keputusan MTJB di atas isu liabiliti, D1 dan D3 telah kemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Namun begitu, rayuan D1 dan D3 telah ditolak pada 28 Februari 2018.
[8] Lanjutan daripada itu, PKP telah mendengar taksiran ganti rugi pada 28 Mei 2018 dengan kehadiran saksi-saksi kedua belah pihak. Di akhir perbicaraan, PKP telah memutuskan:
(i) D1 dan D3 membayar plaintif-plaintif sejumlah RM31,018.76 pada kadar sewa tanah RM300.00 seekar setahun bagi tanah 3.7373 ekar (untuk tempoh 27 tahun 8 bulan) dari 3 Mei 1989 sehingga 26 Mac 2014 dan berterusan sehingga pencerobohan ditamatkan berserta faedah atas jumlah RM31,018.76 atas kadar 5% setahun;
(ii) D1 dan D3 hendaklah membayar pihak plaintif wang sebanyak RM40,000.00 sebagai ganti rugi bagi kerja-kerja mengosongkan sebahagian tanah 3.7373 ekar;
(iii) D1 dan D3 hendaklah membayar pihak plaintif wang sejumlah RM139,352.85 atas pengiraan nilai sewa tanah pertanian pada kadar sewa tanah RM300.00 seekar setahun bagi tanah 16.7895 ekar (untuk tempoh 27 tahun 8 bulan) dari 3 Mei 1989 sehingga 26 Mac 2014 dan berterusan sehingga pencerobohan ditamatkan berserta faedah atas jumlah RM139,352.85 atas kadar 5% setahun;
(iv) pencerobohan tanah oleh pihak defendan telah ditamatkan pada 19 Disember 2016;
(v) D1 dan D3 membayar wang berjumlah RM400,000.00 sebagai pampasan untuk keseluruhan kehilangan pendapatan dari tanaman-tanaman pihak plaintif di tanah 16.7896 ekar;
(vi) D1 dan D3 membayar wang sejumlah RM100,000.00 sebagai keseluruhan ganti rugi teladan;
(vii) faedah pada kadar 5% setahun ke atas wang ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh; dan
(viii) D1 dan D3 membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pihak plaintif sebagai kos taksiran ganti rugi.
[9] Terkilan dengan keputusan PKP, pihak plaintif kemudiannya memfailkan rayuan terhadap kesel