2021 MarsdenLR 1863
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
SEE NGEU @ LEE CHAN LWN. PENGARAH TANAH DAN GALIAN JOHOR
[Saman Pemula No: JA-24NCVC-241-04/2021]
Mahkamah menegaskan bahawa pemohon tidak boleh memaksa pelaksanaan perintah mahkamah yang bertentangan dengan undang-undang Kanun Tanah Negara berkenaan kaveat.
Headnote:(A) Kanun Tanah Negara – Seksyen 319(1)(b) dan 322(1) – Kaveat pendaftar dan kaveat persendirian – Permohonan untuk pendaftaran borang pindah milik tanah – Responden menolak pendaftaran atas sebab terdapat kaveat yang menghalang pendaftaran – Mahkamah menegaskan tindakan Responden adalah betul bagi mematuhi undang-undang. (Paras 4, 14, 18, 29)
(B) Kewajipan pemohon dan penjelasan penolakan pendaftaran – Pemohon tidak boleh memaksa pelaksanaan perintah mahkamah yang bertentangan dengan undang-undang – Pemohon seharusnya mengemukakan rayuan di bawah seksyen yang betul. (Paras 23, 27)
Facts of the case: Pemohon ingin memindah milik sebahagian tanah, tetapi permohonan ditolak oleh Responden atas alasan terdapat kaveat yang menghalang pendaftaran. Responden tidak terlibat dalam perintah asal berkenaan.
Findings of Court: Mahkamah menolak permohonan pemohon kerana tidak ada merit dalam kes ini dan menegaskan perlunya mematuhi Seksyen dalam KTN yang berkaitan kaveat.
Issues: Adakah Responden wajar menghalang pelaksanaan perintah mahkamah kerana ada kaveat di atas tanah tersebut?
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahwa Responden telah berhak untuk menolak pendaftaran kerana melaksanakan perintah tersebut akan melanggar undang-undang KTN.
Result: Permohonan ditolak dengan kos.
PENGHAKIMAN
Latar Belakang
[1] Pada 30 April 2019 Pemohon telah memperolehi Perintah Terpinda Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi perkara yang berikut:
(a) pemilik berdaftar tanah Geran No 105849 Lot 1317 Mukim Sedenak hendaklah menandatangani borang pindah milik bagi memindahmilik sebahagian tanah tersebut seluas 10 ekar 1 rod (selepas ini disebut "Tanah") kepada Pemohon;
(b) sekiranya pemilik berdaftar enggan, maka Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi menurunkan tandatangannya pada borang pindah milik tersebut bagi tujuan pindahmilik Tanah berkenaan; dan
(c) Responden hendaklah menerima pendaftaran borang pindah milik tersebut.
[2] Ekoran itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah menurunkan tandatangannya pada borang pindah milik tersebut pada 18 September 2019.
[3] Seterusnya Pemohon telah membayar duti setem sebanyak RM185.00 bagi borang pindah milik berkenaan.
[4] Bagaimanapun pada 2 Ogos 2020 Responden enggan mendaftarkan borang pindah milik tersebut atas alasan terdapat kaveat pendaftar yang dimasukkan pada 31 Disember 2019 serta 5 kaveat persendirian atas Tanah tersebut.
[5] Justeru, pada 7 April 2021, Pemohon telah memfailkan Saman Pemula ini bagi mendapatkan perintah yang berikut:
(a) Responden menarik balik kaveat pendaftar yang telah dimasukkan pada Tanah tersebut;
(b) secara alternatifnya, Responden menerima pendaftaran borang pindah milik bertarikh 3 Julai 2019 sebagaimana Perintah Mahkamah Tinggi Johor Bahru bertarikh 30 April 2019 untuk memindahmilik tanah seluas 10 ekar 1 rod kepada Pemohon dan bakinya seluas 246 ekar 2 rod diserahkan kembali kepada pemilik berdaftar.
[6] Dalam menjustifikasi tindakan menolak pendaftaran borang pindah milik berkenaan, Responden mengemukakan hujah bahawa pelaksanaan Perintah Terpinda bertarikh 30 April 2019 itu akan melanggar peruntukan dalam s 319(1)(b) dan 322(2) Kanun Tanah Negara kerana terdapat kaveat pendaftar dan kaveat persendirian di atas Tanah tersebut.
[7] Sebaliknya Pemohon berhujah Responden mestilah mematuhi Perintah Mahkamah Tinggi tersebut sepertimana yang diputuskan dalam kes AR PL Palaniappa Chettiar v. PL AR Letchumanan Chettiar & Anor.
Isu Di Mahkamah Tinggi
[8] Dalam Lampiran 12, pihak-pihak bersetuju bahawa hanya satu isu sahaja yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini iaitu sama ada pihak Responden wajar menghalang Perintah Terpinda Mahkamah Tinggi Johor Bahru bertarikh 30 April 2019 agar Responden hendaklah menerima pendaftaran Borang Pindahmilik (14A) ke atas Tanah atas nama Pemohon.
[9] Berdasarkan dokumen yang difailkan, saya mendapati kaveat pendaftar telah dimasukkan pada 31 Disember 2019 ekoran laporan polis mengenai berlakunya pemalsuan geran tanah yang melibatkan Tanah tersebut seperimana yang terdapat dalam Laporan Polis Iskandar Puteri/002274/19.
[10] Selain itu, Tanah yang berkenaan juga menjadi hal perkara dalam Writ Saman Mahkamah Tinggi Johor Bahru No JA-22NCVC-159-11/2020 di mana Responden dinamakan sebagai Defendan Kelima. Dalam Saman ini, kedudukan geran probet dan surat kuasa wakil yang dibuat oleh Lim Han Po (si mati) telah dicabar kesahihannya. Perlu dinyatakan di sini bahawa Lim Han Po adalah pemilik berdaftar Tanah yang terlibat. Ini kerana Lim Han Po dikatakan telah meninggal dunia pada 7 Mac 1964 sedangkan Defendan Keempat dalam kes tersebut menyatakan Tanah terlibat telah diberikan kepadanya melalui wasiat Lim Han Po bertarikh 14 April 2020.
[11] Ekoran itu, persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ialah adakah Perintah Mahkamah Tinggi Johor Bahru bertarikh 30 April 2019 mesti dilaksanakan oleh Responden walaupun ia akan bertentangan dengan peruntukan dalam KTN?
[12] Perlu dinyatakan di sini bahawa Responden bukan menjadi pihak semasa Perintah Terpinda Mahkamah Tinggi Johor Bahru bertarikh 30 April 2019 diperolehi. Selain itu, pada masa itu juga tiada sebarang kaveat atas tanah yang terlibat sama ada kaveat pendaftar mahupun kaveat persendirian.
[13] Hanya semasa borang pindah milik tersebut diserahk