2021 MarsdenLR 2918
MAHKAMAH MAJISTRET JOHOR BAHRU
TAN PENG HUAT LWN. TAN HEE SOON
[Guaman No: JA-A73-5-02/2020]
Plaintiff successfully proved assault and battery by the Defendant through consistent witness testimony and medical evidence, resulting in awarded damages.
Headnote:(A) Akta Keterangan 1950 – Seksyen 101 dan 45 – Tuntutan tort serangan dan bateri – Mahkamah menentukan bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan serangan dan bateri yang dilakukan oleh Defendan berdasarkan keterangan saksi dan bukti perubatan yang konsisten – Defendan juga terbukti telah memulakan serangan dengan masuk tanpa dijemput ke premis Plaintif – Kecederaan yang dialami oleh Plaintif disokong oleh laporan perubatan dan imej X-ray – Gantirugi am sebanyak RM25,000.00 dan gantirugi teladan sebesar RM10,000.00 untuk tindakan Defendan. (Paras 80)
(B) Liabiliti – Defendan bertanggungjawab ke atas kecederaan yang dialami oleh Plaintif melalui kelakuan agresif yang disengajakan. (Paras 33)
(C) Keterangan pakar – Keterangan saksi perubatan diterima masuk serta disokong oleh keterangan dokumentari dan saksi lain yang bebas. (Paras 41-49)
(D) Injunksi – Permohonan injunksi ditolak untuk mengelakkan ketegangan susulan di antara kedua-dua pihak. (Paras 79)
PENGHAKIMAN
Praefatio
[1] Ini merupakan Alasan Penghakiman bagi kes rayuan Defendan yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Majistret Sivil (1) Johor Bahru pada 27 April 2021 di mana Mahkamah telah memutuskan bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan kes tort serangan dan bateri terhadap Defendan pada tahap imbangan kebarangkalian. Rayuan ini adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah tersebut.
Pihak Plaintif telah memanggil (3) orang saksi memberikan keterangan iaitu:
SP1: Tan Peng Huat
SP2: Tan Yoke Lan
SP3: Dr Avinesh Aramugan
Manakala pihak Defendan telah memanggil (1) saksi iaitu Defendan dalam kes ini.
Sepanjang perbicaraan, berikut adalah ekshibit-ekshibit yang dikemukakan oleh pihak-pihak:
Jenis Dokumen Tandaan Ikatan Pliding A Ikatan Dokumen Bersama B Isu-isu yang dibangkitkan C Fakta-fakta yang dipersetujui D Laporan Perubatan P1 Laporan Polis P2 Discharge Note P3 Imej X-ray P4 Penyataan Bertulis SP1 WSSP1 Penyataan Bertulis SP2 WSSP2 Pindaan Penyataan Bertulis SP3 WSSP3 Penyataan Bertulis SD1 WSSD1
Fakta Kes
[2] Plaintif tinggal di No 143, Jalan Skudai, Batu 8 1/2, Skudai, Johor manakala Defendan mempunyai premis perniagaan yang terletak di hadapan rumah Plaintif dan sejajar dengan premis-premis kedai makan yang lain. Terdapat satu lorong untuk ke rumah Plaintif di sebelah premis kedai Defendan dan satu kawasan lapang di sebelah rumah Plaintif bagi membolehkan para pelanggan kedai untuk parkir kenderaan mereka di kawasan tersebut.
[3] Pada tarikh kejadian iaitu pada 8 September 2019, jam lebih kurang 9.20 pagi, seorang lelaki yang tidak dikenali telah membunyikan hon kenderaan jenis Honda kerana kenderaan lelaki tersebut telah terhalang oleh kereta Myvi Putih di hadapan rumah Plaintif.
[4] Keadaan tersebut telah menyebabkan satu gangguan bunyi bising kepada keadaan sekeliling termasuk kepada Plaintif dan premis kedai Defendan berniaga. Tidak lama kemudian Defendan telah keluar dari premis kedai dan terus masuk ke halaman rumah Plaintif untuk bersemuka dengan Plaintif atas kejadian bunyi bising tersebut.
[5] Seterusnya, telah berlaku kejadian pertengkaran mulut antara Plaintif dan Defendan di mana menurut Plaintif cuba menerangkan beliau tidak ada apa-apa pengetahuan tentang kejadian tersebut. Namun, Defendan telah bertindak kasar dengan ugutan bahawa Defendan kenal gangster dan polis serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Plaintif dengan berkata "Cibai Mak Lu" kepada Plaintif. Defendan kemudiannya telahpun memukul Plaintif di bahagian muka dan dada dengan tumbukan yang bertubi-tubi.
[6] Plaintif telah menekup mukanya dengan menggunakan lengan tangannya. Tindakan Defendan menumbuk bertalu-talu ke atas Plaintif sehingga menyebabkan Plaintif terjatuh ke atas lantai konkrit yang berhampiran dengan pasu-pasu bunga di luar rumah Plaintif. Kejadian tersebut disaksikan oleh SP2 yang merupakan kakak ipar Plaintif merangkap sebagai adik ipar Defendan telah bertindak menghalang dan menarik Plaintif daripada dipukul oleh Defendan lagi. Repot Polis P2 bertarikh 8 September 2019 dibuat oleh SP2 ketika Plaintif masih di dalam hospital.
[7] Plaintif telahpun dimasukkan wad dan menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama (5) hari bermula 8 September 2019 hingga 12 September 2019. Akibat daripada kejadian tersebut, Plaintif mengalami sakit-sakit di bahagian pinggang sebelah kanan dan Plaintif tidak mampu berjalan. Plaintif juga mengalami kesakitan di bahagian kaki sebelah kanan kerana terjatuh di bahagian lantai konkrit tersebut.
[8] SP3 sebagai pegawai perubatan HSA mengesahkan telah merawat dan memeriksa SP1 sepanjang di dalam wad HSA. SP3 mengesahkan kecederaan yang dialami oleh SP1 adalah kepatahan atau keretakan di pelvis kanan, cedera di bahagian lengan kanan serta bengkak dan lebam di mata sebelah kiri. Keterangan SP3 disokong oleh (1) Laporan Perubatan P1 dan Imej Xray P4. Berdasarkan P4 tersebut juga di bahagian pelvis, SP1 mengalami fracture right acetabulum dan keputusan CR Pelvis menunjukkan Plaintif mengala