2025 MarsdenLR 236
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR
BAYU RIMBA ENTERPRISE LWN. KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI MALAYSIA & YANG LAIN
[Guaman Sivil No: WA-21NCvC-71-06/2022]
The court held that the plaintiff failed to prove a direct appointment or contractual relationship with the defendants, leading to the dismissal of damages claims. Validity of termination notices and orders was affirmed under applicable law.
Headnote:(A) Akta Orang Asli 1954 - Peruntukan s 14(1) - Tuntutan ganti rugi akibat penamatan kontrak - Plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM18,184,478.94 untuk kerugian mengurus ladang hasil penamatan tidak sah pelantikan sebagai ejen. Tuntutan ditolak atas kegagalan membuktikan pelantikan dan hubungan kontraktual. (Paras 1, 3, 31, 59)
(B) Beban pembuktian - Plaintif gagal membuktikan pembuktian pelantikan dan kerugian sebagaimana menurut s 101 dan s 102 Akta Keterangan 1950. Bukti pendapatan tidak sah dan tidak dibuktikan secara ketat menjadikan tuntutan tidak layak. (Paras 22, 50, 54)
(C) Hubungan kontraktual - Mahkamah mendapati tiada apa-apa kontrak antara plaintif dan defendan pertama hingga ketiga. Perjanjian Kerjasama hanya mengikat plaintif dan defendan keempat. (Paras 31, 58)
(D) Notis dan perintah - Notis pembatalan pelantikan dan Perintah Larangan sah dan memenuhi peruntukan undang-undang. (Paras 56, 59)
| Table of Content |
|---|
| 1. background of the land management contract (Para 1 , 2 , 4 , 5 , 6) |
| 2. parties' arguments on agency appointment (Para 3 , 18 , 19 , 20 , 32 , 33) |
| 3. disputes regarding management termination (Para 10 , 12 , 14 , 16 , 17) |
| 4. court's determinations on contracts and responsibilities (Para 21 , 22 , 23 , 31 , 34 , 35) |
| 5. plaintiff's burden of proof on damages (Para 48 , 50 , 51 , 52 , 54) |
| 6. final ruling on the claims and obligations (Para 57 , 58 , 59 , 60) |
Pendahuluan
[1] Kes ini melibatkan tuntutan gantirugi yang dikemukakan oleh plaintif terhadap defendan-defendan akibat apa yang didakwa oleh plaintif sebagai penamatan kontrak secara salah. Keseluruhan tuntutan plaintif berjumlah RM18,184,478.94 yang timbul daripada dakwaan penamatan pelantikan Plaintif secara tidak sah sebagai ejen untuk menguruskan ladang kelapa sawit di kawasan rizab Orang Asli. Amaun tuntutan ini terdiri daripada kerugian perbelanjaan pengurusan ladang, kerugian akibat bayaran tunggakan dividen dan kerugian keuntungan.
[2] Plaintif menuntut gantirugi am, gantirugi khas dan pengisytiharan bahawa pengeluaran Perintah Larangan bertarikh 10 Mei 2022 ("Perintah Larangan") oleh defendan kedua adalah suatu kemungkiran terhadap pelantikan plaintif sebagai ejen menguruskan Ladang Tanam Semula Komersil ("TSK") Pos Poi di Sungai Siput, Perak.
[3] Setelah meneliti keterangan dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati tuntutan plaintif terhadap defendan pertama, defendan kedua dan defendan ketiga tidak dapat dipertahankan atas alasan-alasan yang dinyatakan dalam penghakiman ini. Oleh yang demikian, tuntutan plaintif terhadap defendan pertama, defendan kedua dan defendan ketiga ditolak dengan kos.
Latar Belakang Kes
[4] Kerajaan Negeri Perak telah merizabkan sebidang tanah di Mukim Lenggong, Daerah Hulu Perak sebagai tapak bagi Rancangan Pengumpulan Semula Orang Asli Poi. Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah ditetapkan sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk mengawal tanah rizab tersebut. Penyelenggaraan tanah ini diletak di bawah tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli ("JAKOA").
[5] Sekitar tahun 2000, tanah rizab tersebut telah dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit oleh RISDA. Ladang berkenaan mula mengeluarkan hasil pada tahun 2005 dan diuruskan sepenuhnya oleh RISDA. Ladang tersebut kemudian dikenali sebagai Ladang Tanam Semula Komersil (TSK) Pos Poi Fasa 1,2 dan 3.
[6] Pada 26 Disember 2012, defendan keempat telah menawarkan kepada plaintif untuk menjadi rakan kongsi dalam pengurusan ladang tersebut. Pada 10 Januari 2013, plaintif telah bersetuju dengan tawaran itu. Pada 8 November 2014, defendan keempat menghantar surat permohonan kepada defendan pertama untuk mengambil alih pengurusan ladang daripada RISDA Plantation Sdn Bhd ("RPSB"). Plaintif turut menyerahkan satu kertas kerja yang mengandungi rangka pelaksanaan sekiranya permohonan tersebut diluluskan.
[7] Pada 22 April 2015, mesyuarat pengurusan tertinggi JAKOA telah diadakan bagi mempertimbangkan permohonan tersebut. Hasil mesyuarat, JAKOA bersetuju untuk melantik defendan keempat bersama rakan kongsinya, iaitu plaintif, bagi mengambil alih pengurusan Ladang TSK Pos Poi.
[8] Melalui surat bertarikh 2 Mei 2015, defendan pertama telah melantik defendan keempat sebagai ejen untuk menguruskan Ladang TSK Orang Asli Fasa 1 dan Fasa 2 Pos Poi yang meliputi keluasan 560 hektar. Surat tersebut dialamatkan kepada defendan keempat dan salinannya dihantar kepada plaintif. Seterusnya, melalui surat bertarikh 31 Julai 2015, defendan pertama bersetuju untuk melantik defendan keempat dan plaintif sebagai ejen bersama bagi pengurusan Fasa 3 yang berkeluasan 164.56 hektar.
[9] Pada 3 November 2015, plaintif dan defendan keempat telah menandatangani satu Perjanjian Kerjasama Menguruskan Ladang untuk tempoh 25 tahun. Defendan pertama telah menandatangani perjanjian tersebut sebagai saksi. Menurut perjanjian itu, plai